w a n n u r s y a r i f a h

Wanita Lebih Afdhal Solat Di Rumah Atau Di Masjid?

Wanita Lebih Afdhal Solat Di Rumah Atau Di Masjid?


Nabi SAW bersabda maksudnya, "Janganlah kalian melarang para wanita (pergi) ke masjid dan hendaklah mereka keluar dengan tidak memakai wangi-wangian." (HR Ahmad dan Abu Daud)

Berdasarkan hadis ini, kita dapat fahami bahawa antara faktor mengapa Nabi SAW lebih menggalakkan kaum hawa untuk solat di rumah adalah kerana untuk mengelakkan timbulnya fitnah, godaan, menimbulkan syahwat di kalangan lelaki seperti memakai perhiasan, tabarruj, memakai wangi-wangian, berpakaian seksi dan ikhtilat (pergaulan bebas) di rumah Allah..

Saya tertarik untuk berkongsi satu kaedah fiqh yang pernah saya pelajari: 


"إذا انعدمت العلة انعدمت الحكم"

'Apabila hilang / tiadanya sebab, maka hilang /tiadalah hukum.'

Jadi, sekiranya seseorang muslimah itu terhindar dari segala perkara di atas, maka adalah lebih baik untuk dia ke masjid kerana berdasarkan kaedah fiqh di atas, apabila tiadanya faktor yang menyebabkan seseorang itu lebih baik solat di rumah, maka terhapuslah hukum (solat di rumah lebih baik), justeru solatnya di masjid adalah lebih afdhal dari solat di rumah..

Berkata Al-Hafiz Ibn Hazm dalam kitabnya 'Al-Muhalla' : “Jika hadir seorang wanita ke masjid untuk bersolat berjemaah bersama kaum lelaki, maka itu adalah satu perkara yang baik. Hadis yang menyatakan kelebihan solat berjemaah mengatasi solat bersendirian dengan 27 darjat tidak boleh dikhususkan untuk kaum lelaki sahaja..."
Tiada Larangan untuk Ke Masjid Sabda Rasulullah S.A.W.: "Janganlah kalian melarang hamba-hamba wanita Allah untuk ke masjid-masjid Allah"{HR Bukhari: no 858 dan Muslim: no 442}

Dr. Sheikh Yusuf Al-Qaradawi berkata: "Solat seorang perempuan di rumahnya itu lebih baik dari di masjid jika dia ke masjid hanya untuk berjemaah, tanpa sebarang faedah lain, tetapi jika ada faedah yang lain seperti mendengar tazkirah keagamaan, mempelajari sesuatu ilmu atau mendengar bacaan al-Qur'an daripada qari yang khusyuk, maka pergi ke masjid itu adalah lebih baik.."

Sepertimana maklum, biasanya solat tarawikh di masjid diselitkan dengan ceramah-ceramah, zikir, tadarus Al-Quran dan majlis ilmu, jadi adalah lebih baik untuk kaum wanita ke masjid.. Sedangkan pada zaman Rasulullah, para sahabiah dan Ummul Mukminin (isteri-isteri Nabi) sangat rindu dan ghairah untuk ke masjid, bahkan ada sebuah hadis yang menunjukkan isteri Rasulullah sering ke masjid, Sayyidah Zainab r.a, salah seorang isteri nabi pernah mengikat seutas tali di antara dua tiang di masjid : Anas bin Malik r.a. 

meriwayatkan bahwa Rasulullah masuk ke dalam masjid. Baginda melihat ada tali yang terikat antara dua tiang masjid, kemudian baginda bertanya, "Untuk apa tali ini?" Maka sahabat menjawab, "Ini adalah tali Zainab r.a.(isteri nabi) Bila dia letih dan mengantuk, maka dia akan bergantung kepadanya.

Rasulullah SAW . bersabda, "Bukalah tali ini. Hendaklah seseorang solat dalam keadaan bersemangat saja, dan bila dia letih hendaklah dia tidur." (H.R. Bukhari dan Muslim)
Subhanallah, kita lihat bagaimana Ummul Mukminin yang begitu erat terpaut dengan rumah Allah.. Tidak inginkah kita untuk mencontohi mereka? Tidak inginkah kita untuk menjadi sebaik-baik muslimah di sisiNya?


Sungguh rugi sesiapa yang tiada keinginan untuk berkunjung ke rumah Allah.. Paling kurang dalam setahun, hanya sebulan sahaja ke masjid, untuk solat tarawih untuk mencari fadilat Ramadan yang besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Kaum wanita biasanya solat di rumah sahaja.. Apa salahnya sepanjang bulan Ramadan ini kita solat tarawih di masjid.. Kita hidupkan rumah-rumah Allah dengan solat, berzikir, mendengar tazkirah dan berikhtikaf di masjid.

0 Komentar untuk "Wanita Lebih Afdhal Solat Di Rumah Atau Di Masjid?"

Popular Posts

Back To Top