w a n n u r s y a r i f a h

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH SIRI I




SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH

Assalamualaikum,saie nak berkongsi entry mengenai penakluk kota kostantinople suatu ketika dulu.saie sebenarnye patut buat awal pasal entry nim,tapi selepas pertame kali melihat video pasal sultan muhammad al fateh ngan tenteranye..air mate saie mengalir tertibe..saie stop dulu..kemudian beberape hari rase macam da okey saie tgok balik video tu di youtube,sekali lagi air mate mengalir.so kali nim saie terus buat entry.lepas tu baru saie tengok video tu lagi.mari membaca kisahnya

Pagi 22 April 1452 bersamaan dengan 852 Hijrah, penduduk Constantinople dikejutkan dengan
laungan takbir, paluan gendang, dan nasyid. Demikian gema kemenangan tentera Sultan
Muhammad al-Fateh. Sekali gus gema itu seolah-olah satu serangan psikologi kepada
penduduk kota berkenaan. Penduduk Constantinople seperti tidak percaya kekuatan tentara
Muhammad al-Fateh. Tidak dapat dibayangkan, bagaimana tembok setebal 4 lapis, setinggi 25
kaki, dan sejauh 160 kaki itu berjaya ditembusi oleh tentera Muhammad al-Fateh?
Suatu yang menakjubkan, tentera Sultan Muhammad al-Fateh telah membawa kapal-kapalnya
masuk ke perairan Tanjung Emas merentasi bukit melalui jalan darat! Taktik peperangan seperti
ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana tentera sebelum ini. Tentera Uthmaniah dengan
semangat dan kekuatan yang luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari Selat Bosphorus ke
Tanjung Emas. Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku
hanya pada satu malam. Sedangkan mereka terpaksa melalui bukit yang begitu tinggi dengan
jarak yang melebihi tiga batu. Sebahagian mereka menyangka bahawa tentera al-Fateh
mendapat bantuan jin dan syaitan!
Siapakah sebenarnya Sultan Muhammad al-Fateh ini? Beliau ialah sultan ketujuh Khilafah
Islamiah Othmaniyah. Beliaulah pembuka kota Constantinople atau yang dikenali hari ini
sebagai Istanbul. Ketika itu beliau baru menjangkau usia 26 tahun. Peperangan yang maha
hebat itu memakan masa selama 54 hari. Keadaan inilah yang pernah dibayangkan oleh
baginda s.a.w. ketika dalam perang Khandak. Antara lain baginda bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Constantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik pemimpin ialah ketuanya
dan sebaik-baik tentera ialah tenteranya.”
Sultan Muhammad al-Fateh ialah salah seorang daripada tokoh pemimpin kerajaan Islam yang
masyhur tercatat dalam sejarah dunia. Beliau bukan sahaja hebat sebagai pemimpin malah
nama beliau sebagai panglima perang, dikenali di benua Eropah. Mendengar namanya sahaja
sudah mengundang gementar di hati musuh-musuhnya walaupun ketika itu beliau sudah 10
tahun meninggal dunia. Beliaulah pemerintah Islam pertama mendapat gelaran yang diberikan
oleh Barat sebagai “Grand Seigneur” yang bermaksud pemimpin agung.
Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 26 Rejab 833 hijrah bersamaan 20 April 1429 Masihi
dan dibesarkan di Adirnah. Ayahnya, Sultan Murad II merupakan salah seorang pemimpin yang
hebat dan tokoh pemerintah kerajaan Othmaniyah yang masyhur. Ibunya dikatakan seorang
puteri raja berketurunan Nasrani.
Ketika ayahnya menjadi sultan, beliau dilantik menjadi gabenor di Magnisa. Setelah kematian
ayahnya, Sultan Muhammad al-Fateh dilantik menjadi pemimpin kerajaan Uthmaniah iaitu pada
bulan Februari 1451. Dengan pelantikan ini bermakna beliau merupakan seorang pemimpin
termuda yang pernah dilantik. Walaupun baru berusia 22 tahun, beliau berjaya membawa
kecemerlangan dalam pemerintahannya.
Kekuatan Sultan Muhammad al-Fateh banyak terletak pada ketinggian peribadinya. Hal ini
demikian kerana ketika usianya kecil lagi sudah diajar menunggang kuda, memanah, dan
menggunakan pedang. Namun didikan rohani mendapat perhatian serius dan dorongan penuh
daripada ayahnya. Beliau telah ditarbiah secara intensif oleh para ulama terulung antaranya
ialah al-Syeikh Muhammad bin Ismail al-Kurani. Beliau mengajar Sultan Muhammad al-Fateh
ilmu-ilmu asas iaitu al-Quran, al-Hadith, fiqh, linguistik (bahasa Arab, Parsi, dan Turki), dan
juga ilmu kemahiran yang lain. Melalui tarbiah yang teliti dan penuh terhormat, tidak hairanlah
lahir peribadi yang unggul seperti Sultan Muhammad al-Fateh.
Sultan Muhammad al-Fateh banyak meneliti dan meninjau usaha ayahnya menawan
Constantinople. Beliau sering mengikuti ayahnya ke medan peperangan. Sebab itu ketika
menaiki takhta pada tahun 855H/1451M, beliau telah mula berfikir dan menyusun strategi
untuk menawan kota berkenaan. Dalam hal ini, beliau banyak mengkaji sejarah Islam zaman
Muawiyah bin Abi Sufian r.a. Waktu itu telah ada usaha-usaha yang dibuat ke arah menawan
Constantinople. Usaha pertama yang pernah disusun adalah pada tahun 44 Hijrah, walau
bagaimanapun usaha berkenaan gagal. Abu Ayyub al-Ansari yang merupakan salah seorang
sahabat nabi, syahid di medan perjuangan itu.
Setelah kemenangan tentera Sultan Muhammad al-Fateh menawan Constantinople, beliau telah
memerintahkan tenteranya mencari kawasan perkuburan Abu Ayyub al-Ansari. Padanya, Abu
Ayyub perlu disempurnakan jenazahnya sebagai seorang sahabat nabi. Setelah ditemui, Sultan
Muhammad al-Fateh meminta supaya kuburnya digali dan dipindahkan ke tempat yang lebih
baik.
Setelah digali, akhirnya mereka menemui bahagian kakinya terlebih dahulu. Di sini Sultan
Muhammad al-Fateh memerintahkan seluruh rakyatnya mencium kaki Abu Ayyub al-Ansari
yang fizikalnya masih segar itu. Walau bagaimanapun, beliau gagal menciumnya kerana tatkala
hendak mencium tiba-tiba sahaja kaki itu tertarik semula ke dalam tanah. Kejadian itu berlaku
berturut-turut sebanyak tiga kali. Pada malam itu, Sultan Muhammad al-Fateh bermimpi
bertemu dengan Abu Ayyub al-Ansari. Abu Ayyub al-Ansari menjelaskan bahawa kejadian itu
berlaku disebabkan rasa malu dan hormat kepada Sultan Muhammad al-Fateh. Padanya, tidak
layak orang yang telah berjaya menawan Kota Constantinople mencium kakinya.
Selain itu, beliau banyak mengkaji dan mempelajari pengalaman Rasulullah s.a.w. dalam
peperangan. Malah semangat kepahlawanan dan pengorbanan panglima perang Islam dahulu,
banyak mempengaruhi jiwanya. Namun, Sultan Muhammad al-Fateh mewarisi sifat keberanian,
kegagahan, kesabaran, dan semangat tidak putus asa ayahnya. Bahkan beliau juga mewarisi
pengetahuan yang luas serta berkemahiran dalam menyusun strategi peperangan.
Di sini ternafilah tohmahan golongan orientalis Barat dan musuh-musuh Islam bahawa beliau
menegakkan Islam dengan kekerasan. Walhal mata pedang digunakan sebagai jalan terakhir.
Tujuan orientalis itu hanyalah untuk mengelirukan masyarakat terhadap Islam. Dr. Abd. Salam
bin Abd Aziz dalam bukunya yang bertajuk Sultan Muhammad al-Fateh Pembuka
Constantinople Menundukkan Rom, menjelaskan bahawa Sultan Muhammad al-Fateh memiliki
keyakinan diri yang kuat. Selain itu, dia juga mempunyai pandangan jauh serta kepintaran
yang tinggi. Malah Sultan Muhammad al-Fateh mampu menghadapi tekanan, keperitan, dan
bebanan yang dihadapinya. Beliau seorang pemuda yang warak. Malah, jarang sekali beliau
menunaikan solat, melainkan di masjid.
Sultan Muhammad al-Fateh digambarkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat. Beliau lebih
mengutamakan urusan negara dan masyarakat mengatasi kepentingan diri. Pada masa yang
sama, beliau sering mendampingi ulama-ulama dan ilmuwan. Kedudukannya sebagai Sultan
tidak menghalang minatnya untuk terus menimba ilmu dan pengalaman. Kehidupan beliau
sebagai pemimpin digambarkan cukup sederhana. Malah beliau sangat memusuhi pembaziran.
Oleh sebab itu, hidangan makanan dan cara berpakaiannya tidak terikat dengan peraturan-
peraturan istana.
Selain kejayaan dalam bidang ketenteraan dan penaklukan wilayah, Sultan Muhammad al-
Fateh juga berjasa dalam mengembangkan dakwah Islam ke benua Eropah. Melalui akhlak dan
keperibadian beliau, ramai yang tertarik dan memeluk Islam. Hal ini berlaku pada hari
kemenangan tenteranya, iaitu apabila beliau telah mengampunkan penduduk Kristian Kota
Constantinople. Dengan sikap toleransi yang ditunjukkan itu, menyebabkan ada dalam
kalangan paderi terus menyatakan keislaman mereka.
Sepanjang pemerintahannya, beliau tidak lupa membangunkan aspek fizikal dan rohani
rakyatnya. Beliau telah membina Masjid al-Fath yang terkenal dengan gelaran Blue Mosque.
Selain itu, beliau juga telah memulihkan semula peranan Masjid Aya Sofia sebagai mercu dan
syiar Islam di Turki. Sultan Muhammad al-Fath meninggal dunia pada bulan Mei 1481 dan
jenazahnya dikebumikan di Kota Constantinople.

Sambung ke siri II..Insyallah
0 Komentar untuk "SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH SIRI I"

Popular Posts

Back To Top