w a n n u r s y a r i f a h

KISAH MENARIK MENGENAI ISLAM

Selepas Samarkand jatuh ke tangan tentera Islam, padri besar negeri itu mengutus surat kepada
khalifah Islam, Amirul-Mu’minin Umar bin Abdul Aziz.
Di dalam surat tersebut dia mendakwa panglima tentera Islam, Qutaibah serta angkatan
tenteranya telah memasuki Samarkand tanpa amaran dan tanpa seruan dakwah kepada Islam.
Umar mengarahkan hakim yang dilantik untuk bertugas di Samarkand bernama Jumay’ supaya
membicarakan kes yang didakwa oleh padri besar tersebut.
Hakim memanggil kedua-dua pihak, pendakwa (padri besar Samarkand) dan yang didakwa
(Qutaibah, panglima angkatan tentera Islam). Qutaibah dipanggil oleh petugas mahkamah atas
nama peribadinya, tanpa dikaitkan dengan sebarang gelaran.
Datanglah Qutaibah ke mahkamah. Dia duduk bersebelahan paderi besar Samarkand di hadapan
hakim Samarkand yang muslim.
Hakim memulakan perbicaraannya dengan mengajukan soalan kepada paderi besar Samarkand:-
Hakim: Apakah dakwaan kamu wahai orang Samarkand?
Paderi: Qutaibah dan tenteranya telah memasuki dan menakluki negeri kami tanpa menyeru kami
kepada Islam terlebih dahulu dan memberi tempoh kepada kami untuk kami membuat keputusan
mengenai pendirian kami!
Hakim berpaling kepada Qutaibah seraya bertanya:- Apa jawapan kamu terhadap dakwaan ini
wahai Qutaibah?
Qutaibah: Peperangan adalah tipu muslihat. Samarkand merupakan negeri yang besar. Semua
negeri-negeri di sekitarnya melawan kami. Mereka tidak menerima Islam dan tidak mahu
membayar jizyah.
Hakim: Wahai Qutaibah! Adakah kamu telah menyeru mereka (penduduk Samarkand) kepada
Islam atau membayar jizyah atau perang?
Qutaibah: Tidak! Sebaliknya kami terus serang mereka secara mengejut dengan alasan yang telah
saya sebutkan tadi.
Hakim: Aku mendapati kamu telah mengaku. Dan apabila pihak yang didakwa mengaku,
selesailah perbicaraan. Wahai Qutaibah! Allah tidak menolong umat ini melainkan dengan
(berpegang kepada) agama, menjauhi tipu daya dan menegakkan keadilan.
Kemudian hakim mengisytiharkan keputusan penghakimannya:
Hakim: Kami memutuskan supaya semua orang Islam dikeluarkan dari bumi Samarkand,
merangkumi pemerintah, tentera, orang-orang lelaki, kanak-kanak dan wanita. Mereka hendaklah
mengosongkan kedai-kedai dan rumah-rumah mereka. Jangan ada seorangpun orang Islam yang
tinggal di Samarkand!
Paderi besar terpinga-pinga,tidak percaya dengan apa yang dilihat dan didengarnya. Tanpa
bukti, tanpa saksi, perbicaraan selesai dalam masa beberapa minit sahaja.
Paderi besar dan orang-orang Samarkand yang turut hadir dalam mahkamah ketika itu, tidak menyedari bahawa perbicaraan telahpun selesai kecuali setelah melihat hakim, Qutaibah dan
para petugas bangun dan beredar.
Hanya beberapa saat saja selepas itu, penduduk Samarkand mendengar deringan suara loceng
memenuhi angkasa, debu-debu berterbangan memenuhi setiap ruang dan bendera-bendera
kelihatan berkibaran di sebalik debu-debu yang bertiupan. Mereka tertanya-tanya kehairanan,
apa yang telah terjadi?
Lalu diberitahu kepada mereka bahawa pemerintahan Islam telah ditamatkan dan angkatan
tenteranya telah ditarik keluar. Satu pemandangan yang sungguh menakjubkan dan
menggemparkan.Dan terbenam sahaja matahari pada hari itu, anjing-anjing berkeliaran di jalan-
jalan yang sunyi, suara-suara tangisan bersahutan dari setiap rumah menangisi pemergian satu
umat yang adil lagi penyayang dari negeri mereka.
Lantas paderi besar dan seluruh penduduk Samarkand tidak dapat menahan diri lebih lama lagi.
Mereka keluar berarak beramai-ramai dikepalai paderi besar menuju ke arah angkatan tentera
Islam sambil melaungkan syahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh
Allah.Ya Allah!
Betapa hebatnya kisah ini. Betapa gemilangnya lembaran sejarah Islam yang agung.Pernahkah
anda dengar satu angkatan tentera menakluk sebuah kota, kemudian penduduk kota itu membuat
dakwaan ke atas tentera yang menakluk, dan akhirnya tentera yang menakluk itu kalah dalam
perbicaraan dan diperintahkan keluar dari kota yang telah ditakluknya?
Demi Allah! Kita tidak akan temui kisah serupa ini dalam sejarah mana-mana umat di dunia ini
selain dari umat Islam!
Dipetik dari buku ‘Qasas min at-Tarikh’ oleh Syaikh Ali at-Tantawi
sumber
0 Komentar untuk "KISAH MENARIK MENGENAI ISLAM"

Popular Posts

Back To Top