w a n n u r s y a r i f a h

PERANG ENAM HARI




PERANG ENAM HARI
SIRI  7 (AKHIR)

Akhirnya pada 22 November 1967, draf British ini telah diusulkan dan diundi di PBB. Hasil daripada strategi dan diplomasi halus pihak British khususnya dalam memancing undi negaranegara Arab, kesemua 15 ahli Majlis Keselamatan PBB mengundi menyokong draf British ini yang kemudiannya telah diterima sebagai resolusi damai 242 PBB tanpa pindaan. Yang jelas di sini, resolusi British ini telah berjaya dalam mendamaikan secara sementara kedua-dua pihak yang berperang walaupun resolusi ini hakikatnya jelas bersifat berat sebelah.  Dengan lulusnya resolusi yang ditaja oleh Britain ini juga, dasar imperialisme Israel kelihatannya telah diperakui sah dari segi undang-undang antarabangsa oleh PBB. Malahan selepas resolusi ini diluluskan, wilayah Israel telah bertambah luas melalui penaklukan terhadap wilayah-wilayah Arab pada 1967 seperti Bukit Golan, Sinai, Gaza, Tebing Barat dan Baitul Maqdis. Pemansuhan garis sempadan yang dibina sejak perjanjian 1949 kini tidak relevan lagi apabila PBB sendiri melalui kempen-kempen oleh British tersebut mengesahkan perluasan sempadan Israel ke atas wilayah-wilayah Arab melalui Resolusi 242.  Perang 1967 sememangnya memberikan keuntungan yang besar kepada Israel, namun bagi pihak negara-negara Arab, perasaan marah dan tidak puas hati mereka masih terpendam. Kemarahan mereka terhadap pelan damai tajaan British ini akhirnya diterjemahkan dalam perang Arab-Israel seterusnya iaitu pada bulan Oktober 1973. Berdasarkan kepada dokumendokumen British ini jelas menunjukkan bahawa Resolusi damai 242 yang ditaja oleh British pada tahun 1967 ini mempunyai kelemahan yang ketara. Sama ada kelemahan itu disengajakan atau tidak, hakikatnya pelan tersebut gagal untuk membawa damai yang berkekalan di Asia Barat. Tony Blair, bekas Perdana Menteri Britain dan kini menjadi wakil khas Quartet di Asia Barat patut mengambil pengajaran bahawa kedamaian yang dicari di rantau tersebut hanya akan tercapai sekiranya keadilan ditegakkan dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Sesungguhnya dalam sebarang proses damai, agenda terselindung dan sikap berat sebelah sewajarnya dielakkan bagi membina masa depan Asia Barat yang lebih aman dan makmur.

Nota:  1  Bukit Golan merupakan wilayah Syria yang masih ditakluki oleh Israel sehingga kini. Sinai pula telah diserahkan kembali kepada Mesir melalui perjanjian damai selepas Perang Yom Kippur 1973. Walau bagaimanapun wilayah Tebing Barat dan Semenanjung Gaza telah diserahkan kepada pentadbiran sementara Palestin yang diketuai oleh Presiden Mahmud Abas. Pada tahun 2007, krisis kepimpinan Palestin menyaksikan Presiden Mahmud Abas hanya berjaya mentadbir Tebing Barat manakala Semenanjung Gaza ditadbir oleh pergerakan Hamas. Pentadbiran Palestin di dua wilayah ini bagaimanapun hanya dari segi teorinya sahaja kerana Israel masih mengenakan kawalan ketenteraan yang ketat.

0 Komentar untuk "PERANG ENAM HARI"

Popular Posts

Back To Top