w a n n u r s y a r i f a h

PERANG ENAM HARI



PERANG ENAM HARI

SIRI 2


“Never in the history of military aviation has the exercise of air power played so speedy and decisive a part in modern warfare.” Demikianlah pandangan seorang penganalisis perangBritish, R. Goring Morris dalam menggambarkan kejayaan Israel.5 Perang ini juga menyaksikan masalah pelarian Palestin kian meruncing khususnya dengan pertambahan pelarian yang mendadak  dari Tebing Barat.6  Sementara itu, kejayaan Israel yang menakjubkan ini telah menyaksikan moral kepimpinan Arab musnah dan pemimpin utama Arab, Presiden Gemal Abdul Nasser turut kehilangan pengaruh politik dan kredibiliti di dunia Arab.  Sejarawan Asia Barat terkenal P.J Vatikiotis menyifatkan “the defeat of Egyptian armed forces in Sinai in the Six Day war constituted a defeat of Nasserism in the Arab world.7 Sementara itu di Baitul Maqdis Timur, penaklukan Israel menyaksikan proses ‘meyahudikan’ kota bersejarah tersebut dilakukan secara agresif oleh Israel. Laporan berhubung Baitul Maqdis Timur (Jerusalem Timur) oleh Ernesto A. Thalman, wakil Setiausaha Agong PBB, U-Thant pada September 1967 mengesahkan tindakan tidak bertanggungjawab Israel jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Thalman dalam laporan beliau mengkritik Israel yang mengaplikasikan undang undang Israel di Baitul Maqdis mulai 28 Jun 1967. 

Lebih 75,000 penduduk Arab Islam iaitu kira-kira 81 peratus dan Arab Kristian berjumlah 17 peratus mula berdepan dengan tindakan Israel merampas tanah-tanah mereka, meruntuhkan bangunan kedai dan kediaman dan sebahagian besar penduduk Arab ini keluar dari penempatan mereka di Baitul Maqdis Timur.8    Sesi perdebatan bagi mencari damai telah berlangsung di Majlis Keselamatan PBB sebanyak empat kali iaitu pada 13 hingga 14 Jun sebaik sahaja gencatan senjata ditandatangani pada 11 Jun 1967.  Wakil-wakil Arab dengan sokongan Soviet begitu lantang mengkritik kekejaman Israel dan mendesak PBB untuk bertindak lebih tegas terhadap Tel Aviv.

  Wakil Arab Saudi, Jamil M. Baroody misalnya mengkritik kelemahan U-Thant dalam mengendalikan krisis ini.9 Sementara itu kekejaman Israel telah menimbulkan cadangan dari beberapa negara iaitu Argentina, Brazil, Ethiopia dengan sedikit perubahan atas cadangan Mali di PBB untuk mendesak Israel menghormati empat prinsip Konvensyen Geneva, 1949 berhubung layanan terhadap mangsa perang.10  Dalam sesi yang sama, pihak Soviet telah mengkritik penaklukan ganas Israel yang disifatkan sebagai, “the Hitlerite invaders.”11 Sebagai reaksi kepada desakan dan kritikan tersebut, Perdana Menteri Israel, Levi Eshkol dalam kenyataannya dalam sidang Knesset pada 12 Jun menegaskan bahawa Israel tidak akan kembali kepada keadaan sebelum perang termasuklah menyerahkan kembali wilayah-wilayah Arab yang ditakluki. Menurut beliau; “to the nations of the world I say…Alone we fought for existence and our security; we are entitled to determine what are the true and vital interests of our country, and how they shall be secured.”12 Sementara itu, mulai 11 Jun 1967 PBB telah melantik Jeneral Odd Bull untuk menjadi ketua agensi pemerhati PBB di wilayah yang berkonflik ini. Pada 14 Jun, Bull telah mendesak Israel agar memberikan kebebasan kepada pegawai PBB untuk melaksanakan tugas mereka memantau perjalanan gencatan senjata.13 Sementara itu, Menteri Luar Britain, George Thomson dalam kenyataan beliau di House of Commons menegaskan bahawa Britain akan memainkan peranan yang aktif dalam menyokong usaha Jeneral Bull bagi memastikan “the final and effective cease fire.” Malahan beliau berharap juga agar pemerhati PBB yang selama ini telah dihalang oleh Israel dari memasuki wilayah yang ditaklukinya akan dapat kembali ke rumah kerajaan di Baitul Maqdis.14 Pada 17 Jun 1967, satu mesyuarat tergempar telah diadakan di Majlis Keselamatan PBB berikutan bantahan Syria bahawa Israel telah mencabul gencatan senjata yang dipersetujui serta bertindak kejam terhadap para pelarian Arab. Mesyuarat itu dimulakan dengan kenyataan pedas Perdana Menteri Soviet, Kosygin yang mengkritik keganasan Israel dan mendesak Israel mengundurkan tenteranya dari wilayah Arab yang ditakluki.15 Sementara itu negaranegara Asia dan Afrika dengan diketuai oleh India turut mendesak Israel mengundurkan tenteranya segera bagi memastikan proses damai terlaksana. Manakala negara-negara Amerika Selatan dan Caribbean telah mendesak agar status Baitul Maqdis dikembalikan kepada pentadbiran antarabangsa. Negara-negara ini bersepakat menyifatkan bahawa penaklukan wilayah Arab oleh Israel mencabul undang-undang antarabangsa.

sambung ke siri 3

0 Komentar untuk "PERANG ENAM HARI"

Popular Posts

Back To Top