w a n n u r s y a r i f a h

PERANG ENAM HARI


PERANG ENAM HARI

SIRI 1

Konflik Arab Israel sejak tahun 1947 sehingga kini masih kelihatan tidak ada penghujungnya. Walaupun dalam tempoh yang panjang itu, proses dan rundingan damai tajaan pelbagai pihak telah direncanakan, namun hasilnya sehingga kini wilayah Palestin yang bergolak masih tidak menemukan sebarang jalan perdamaian. Yang terbaru pula ialah perlantikan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair sebagai wakil khas quartet kuasa-kuasa besar ke Asia Barat kelihatan tidak menjanjikan perdamaian untuk wilayah yang telah lama bergolak itu. Malah, konflik yang selama ini hanya membabitkan Israel dan Arab berhubung Palestin kian getir apabila konflik ini semakin rumit membabitkan Israel, pejuang-pejuang Hamas di Gaza dan sekutu Barat, pergerakan Fatah di Tebing Barat. Justeru, timbul persoalan tentang sebab-sebab kepada kegagalan segala rundingan damai yang berlangsung sejak tahun 1949 lagi. Bagi menjawab persoalan ini, perbincangan akan memfokuskan tentang rundingan damai yang berlangsung selepas perang Arab-Israel 1967.

Rundingan damai yang menghasilkan resolusi 242 PBB telah dirangka oleh pihak British yang kemudiannya disahkan oleh PBB. Perbincangan yang menggunakan sepenuhnya dokumen-dokumen arkib British di England ini akan meninjau sikap dan tindak-tanduk British ketika merangka dan kemudiannya menaja pelan damai tersebut.

Melalui tinjauan dokumen-dokumen rasmi kerajaan Britain ini, diharapkan kajian ini akan menjawab persoalan tentang punca kegagalan proses perdamaian di Asia Barat moden. Mencari damai pasca Perang Arab-Israel 1967: Suatu retrospektif Perang Arab-Israel 1967 amat penting dalam sejarah konflik Arab-Israel sejak tahun 1947.

Hal ini kerana kesan daripada peperangan tersebut kekal sehingga kini khususnya penaklukan Israel ke atas wilayah-wilayah Arab seperti Bukit Golan, Tebing Barat, Sinai, Baitul Maqdis Timur dan Gaza.1 Pada 5 Jun 1967, tepat pukul 7.45 pagi waktu Israel (8.45 pagi waktu Kaherah), jet-jet pejuang Israel telah membedil kedudukan pangkalan tentera Arab di Mesir, Syria, Iraq dan Jordan. Sementara itu, pangkalan tentera udara Mesir di sekitar Kaherah, Terusan Suez dan Lembah Nil menjadi sasaran utama bedilan jet pejuang Israel.2 Serangan udara Israel ini menandakan permulaan perang 6 hari Arab-Israel 1967.

Perang ini kemudiannya berterusan dari 5 Jun hingga 11 Jun 1967, sebelum Israel dan negara Arab bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata berdasarkan resolusi PBB 233, 234 dan235.3 Perang yang berlaku selama enam hari ini menyaksikan pakatan negara Arab yang diketuai oleh Presiden Gamal Abdul Nasser dari United Arab Republic (UAR) tumpas kepada Israel dalam keadaan yang amat memalukan.

UAR selain kehilangan wilayahnya di Gaza dan Sinai turut menyaksikan lebih 15 ribu tenteranya terkorban dan lebih 5000 lagi hilang tanpa dikesan. Manakala lebih 700 tentera Jordan terkorban dan 450 tentera Syria maut. Sementara bagi Israel pula 679 orang tenteranya telah terkorban.4  Dari segi kemusnahan kelengkapan pertahanan pula, lebih 15 peratus daripada kelengkapan tentera UAR bernilai lebih US$2 juta telah dimusnahkan termasuklah 320 kereta kebal, 480 senjata berat dan ringan dan 10,000 kenderaan tentera telah dirampas oleh Israel. Lebih 85 peratus kelengkapan pertahanan udara UAR telah dimusnahkan oleh Israel.

Bersambung ke siri 2 insyallah

0 Komentar untuk "PERANG ENAM HARI"

Popular Posts

Back To Top