w a n n u r s y a r i f a h

PENYAKIT BUAH PINGGANG

a


PENYAKIT BUAH PINGGANG.
info nim saie merujuk kepada doktor.so nim bkn artikal yg saie tulis sendri sbb saie bkn pakar dlm bidang NEFROLOGI.Biala yg pakar menulisnye ye ^_^ slmt membace..
#TERIMA KASEH PADA Dato'Dr Zaki Morad Mohd Zaher.(credit)



Mengesan Dan Mengawal Penyakit Buah Pinggang
Oleh Dato' Dr Zaki Morad bin Mohd Zaher
Pakar Runding Kanan Nefrologi

MENGESAN PENYAKIT BUAH PINGGANG
Langkah pertama penjagaan penyakit buah pinggang yang lebih berkesan ialah dengan
mengesan penyakit ini pada peringkat awal-awal lagi. Pengesanan awal adalah penting
terutama sekali jika anda seorang penghidap diabetes kerana penyakit ini akan
menyebabkan anda berisiko tinggi bagi menghidap penyakit buah pinggang. Beberapa
tanda-tanda dan gejala penyakit buah pinggang yang harus diberi perhatian termasuklah
berat badan menurun tanpa sebab, rasa loya atau muntah, letih lesu atau sakit
belakang. Tanda-tanda lain termasuk penukaran kekerapan atau corak urinasi, urin yang
mengandungi darah atau rasa pedih ketika urinasi, bengkak pada muka, kaki dan
abdomen dan kesukaran untuk tidur malam.
Malangnya, kesemua tanda dan gejala ini kebiasaannya tidak akan kelihatan
sehinggalah buah pinggang anda telah mengalami kerosakan yang teruk. Ada juga
kemungkinan anda langsung tidak akan mengalami sebarang tanda atau simptom
tersebut walaupun buah pinggang anda sudah tidak berfungsi lagi. Oleh sebab itu, anda
tidak boleh bergantung kepada kesemua tanda dan gejala tersebut untuk mengesan
penyakit buah pinggang dan sebaliknya menganggap yang anda tidak mempunyai
penyakit tersebut jika anda langsung tidak mengalami sebarang tanda-tanda tersebut.
Cara yang paling tepat untuk mengesan samaada anda mengalami sebarang kerosakan
buah pinggang ialah dengan berjumpa doktor anda dan mengambil ujian urin untuk
mengesan mikroalbumin dan protein. Kehadiran mikroalbumin (protein dalam jumlah
yang kecil) dalam urin menunjukkan bahawa buah pinggang anda telah rosak. Ini terjadi
kerana buah pinggang yang rosak tidak dapat menerima balik kebanyakan protein yang
telah ditapis, menyebabkan kandungan protein dalam urin semakin meningkat.
Kehadiran protein dalam kuantiti yang banyak dalam urin (makroalbuminuria - satu
petanda lewat nefropati diabetes) boleh dikesan dengan satu ujian ringkas dengan
mencelup stik pengesan ke dalam urin. Sebaliknya, untuk menentukan kandungan
protein dalam urin yang sedikit (mikroalbuminuria) - satu petanda awal kerosakan buah
pinggang disebabkan diabetes, memerlukan suatu ujian khas.
Jika ujian menggunakan stik pengesan atau ujian mikroalbuminuria menunjukkan
keputusan yang positif, adalah baik jika anda mengikut nasihat doktor dan seterusnya
mengambil langkah-langkah yang sewajarnya, seperti tertera di bawah, untuk
membantu anda mengelak atau melambatkan penyakit ini daripada menjadi bertambah
teruk.
LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGAWAL PENYAKIT BUAH PINGGANG YANG DISEBABKAN
OLEH DIABETES
#1. Teruskan mengurus diabetes anda dengan baik
Tahap glukosa darah yang tinggi, tekanan darah yang tinggi dan kandungan lemak
dalam darah yang tidak normal merupakan faktor-faktor utana yang menyumbang
kepada kerosakan berterusan buah pinggang anda. Itulah sebab betapa pentingnya
untuk anda mengurus faktor-faktor ini dengan sebaik-baiknya agar dapat mengawal
penyakit buah pinggang anda. Dalam kata lain, penjagaan diabetes yang baik boleh
melambatkan perkembangan penyakit buah pinggang setelah ianya bermula (atau
mengelakkannya dari menjadi bertambah teruk terutama sekali apabila ianya dapat
dikesan dari awal!). Berikut terdapat cara-cara untuk menjaga diabetes dengan baik dan
lebih berkesan:
Terus memastikan yang anda mencapai tahap sasaran yang disyorkan bagi glukosa
darah, tekanan darah dan lipid dengan mengamal pemakanan yang sihat, mengawal
pengambilan karbohidrat, melakukan aktiviti fizikal secara kerap dan mengurangkan
berat badan yang berlebihan. Anda juga harus, mengambil ubat-ubat (jika
dipreskripsikan) dan sentiasa memantau tahap glukosa darah anda di rumah. Keraplah
berjumpa doktor anda bagi mendapatkan rawatan susulan terutama sekali untuk
memeriksa tekanan darah dan tahap lipid anda.
Sila rujuk jadual di bawah untuk membantu mencapai sasaran penjagaan diabetes
anda dengan baik:
Ujian Darah Tahap yang disyorkan
Glukosa darah 3.8 mmol/L - 6.1 mmol/L (ketika berpuasa)
Dan kurang dari 7.8 mmol/L (selepas makan)
HbA1c Kurang dari 6.5%
Kolesterol LDL Kurang dari 2.6 mmol/L
Trigliserida Kurang dari 1.7 mmol/L
Kolesterol HDL Lebih dari 1.02 mmol/L
Tekanan darah 130/80 mmHg atau kurang
#2. Pemakanan Yang Betul
Mengurus diabetes sahaja adalah tidak mencukupi jika anda sudah menghidap penyakit
buah pinggang disebabkan diabetes. Anda juga harus memastikan bahawa buah
pinggang anda yang rosak itu tidak akan membahayakan badan anda. Salah satu
daripada cara untuk anda menjaga kesihatan diri jika telah menghidap penyakit buah
pinggang ialah melalui pengawalan pemakanan (diet).
Apabila buah pinggang anda sudah tidak boleh berfungsi dengan betul, sisa buangan
dan bahan-bahan lain akan berkumpul sehingga tahap yang membahayakan badan
anda. Kawalan diet adalah penting untuk mengawal penyakit buah pinggang untuk
mengelakkan pengumpulan berlebihan bahan-bahan ini (contohnya natrium, kalium,
kalsium, fosforus, cecair dan bahan buangan protein) di mana buah pinggang yang sihat
akan dapat membersihkan darah untuk manjaga keseimbangan badan.
Anda harus bertanya doktor atau pakar diet anda untuk mendapatkan satu pelan diet, di
mana ianya akan berfokus kepada nutrien-nutrien berikut:
Protein diperlukan untuk penyelenggaraan, tumbesaran dan pembaikan tisu-tisu
badan. Ia juga dapat membekalkan tenaga dan membantu anda melawan penyakit.
Protein boleh diperolehi daripada ikan, telur, daging dan ayam. Apabila protein
diuraikan dalan badan (proses metabolisma), ia akan menghasilkan bahan-bahan
buangan. Salah satu daripada bahan buangannya dikenali sebagai urea. Kandungan
urea yang tinggi dalam badan akan menyebabkan rasa loya, muntah dan hilang selera
makan. Anda mungkin perlu memulakan diet yang rendah protein (tetapi tidak terlalu
rendah) untuk memastikan kandungan bahan buangan masih dalam linkungan tahap
yang boleh diterima disamping memastikan badan anda mendapat protein yang ia
perlukan.
Natrium membantu pengaturan kandungan cecair dan tekanan darah. Sumber yang
paling biasa didapati ialah garam makan, walaupun ia memang terkandung dalam
kebanyakan makanan. Natrium yang berlebihan akan mengakibatkan peningkatan
cecair dalam badan serta tekanan darah yang tinggi. Oleh itu, anda perlu
mengurangkan pengambilan natrium contohnya tidak memakan makanan yang masin
dan tidak menambah garam kepada makanan anda.
Kalium diperlukan untuk saraf-saraf dan otot-otot termasuk jantung supaya berfungsi
dengan normal. Makanan yang kaya dengan kalium termasuklah kentang, sayur-
sayuran berdaun hijau dan pisang. Jika kandungan kalium (potassium) menjadi terlalu
tinggi, ia akan menyebabkan kelemahan pada otot dan denyutan jantung yang tidak
tetap. Justeru itu, anda perlu mengikuti pelan diet yang mempunyai kandungan kalium
yang bersesuaian.
Kalsium dan fosforus diperlukan untuk pembentukan tisu tulang. Walaubagaimanapun,
kandungan fosforus yang tinggi pada buah pinggang yang sudah gagal berfungsi
boleh menyebabkan kalsium larut lesap dari tulang-tulang anda dan menyebabkan
tulang menjadi lemah dan rapuh. Inilah sebabnya anda harus menghadkan
pengambilan fosforus. Makanan yang mempunyai kandungan fosforus yang tinggi
termasuklah susu dan produk tenusu yang lain serta kekacang.
# 3. Mengawal pengambilan cecair
Buah pinggang yang sihat dapat mengelakkan pengumpulan cecair dalam badan anda
dengan menyingkirkan cecair berlebihan melalui urin. Itulah sebabnya, apabila buah
pinggang anda sudah tidak berfungsi dengan baik, cecair akan terkumpul dalam tisu-
tisu badan, saluran darah dan juga paru-paru anda. Ini akan memberi tekanan pada
jantung anda, menyebabkan tekanan darah tinggi dan kesukaran untuk bernafas. Anda
juga mungkin akan mengalami tukaran dalam corak dan kekerapan urinasi (satu
daripada petanda penyakit buah pinggang). Jadi, anda harus mengikuti nasihat doktor
jika anda diperlukan untuk menghadkan pengambilan cecair dan merancang
pengambilan cecair harian anda.
# 4. Makan ubat-ubatan anda
Doktor anda mungkin akan memberi ubat-ubat yang tertentu sebagai tambahan kepada
aturan diet anda. Ubat-ubatan ini akan membantu mengurangkan tekanan darah tinggi
anda, meningkatkan kandungan kalsium dalam darah atau membantu keadaan-keadaan
lain yang berkaitan dengan penyakit kegagalan buah pinggang. Anda haruslah sentiasa
tekun untuk memakan ubat-ubatan anda.
Peringkat akhir kerosakan buah pinggang haruslah dielakkan selagi boleh. Anda boleh
mengelakkannya dengan mengawal penyakit diabetes dan penyakit buah pinggang anda
secara serentak dan teliti. Dengan mengikuti segala nasihat yang diberikan oleh doktor,
anda mempunyai peluang yang baik untuk mengelakkan buah pinggang anda dari
menjadi bertambah teruk.
Walaupun anda sudah mengalami peringkat akhir kerosakan buah pinggang dan sedang
menjalani rawatan dialisis (rawatan perubatan yang menggunakan mesin dialisis untuk
mengeluarkan bahan buangan dan cecair yang berlebihan dalam badan terus daripada
darah bagi mereka yang kegagalan buah pinggang), anda masih boleh mengawal
penyakit menerusi penjagaan diet, mengawal pengambilan cecair dan mengambil ubat-
ubatan yang dipreskripsikan oleh doktor. Ini adalah kerana proses dialisis masih tidak
dapat mengeluarkan kesemua bahan buangan dari badan anda. Walau bagaimanapun,
keperluan diet, kawalan pengambilan cecair dan ubat-ubatan mungkin perlu sentiasa
diteliti dan diubahsuai. Doktor anda akan dapat menasihati anda berasaskan keadaan
semasa anda.

Tag : NEFROLOGI
3 Komentar untuk "PENYAKIT BUAH PINGGANG"

Popular Posts

Back To Top