w a n n u r s y a r i f a h

KISAH NABI ISA A.S

KISAH NABI ISA A.S

Sebelum turunkan kisah Nabi Isa eloklah diceritakan hal ibunya dahulu. Ibunya adalah
seorang perempuan yang mulia. Allah memuliakannya dengan namakan sebuah surah
sempena namanya. Surah itu adalah surah Mariam iaitu surah yang kesembilan belas di
dalam al-Qur'an.
Bapa Mariam bernama Imran. Dia juga dimuliakan Allah. Sebenarnya, keluarga Imran
dimuliakan Allah. Buktinya terdapat pada ayat berikut:
"Allah telah pilih Adam, dan Nuh, dan keluarga Ibrahim, dan keluarga Imran, di atas
semua alam" (3:33).
Demikianlah dinamakan keluarga-keluarga yang dipilih Allah di atas semua di alam ini.
Ayat itu adalah ayat yang ke-33 dalam surah Ali Imran, atau Keluarga Imran, iaitu surah
ke-3 di dalam al-Qur'an.
Di surah itulah bermula cerita Mariam. Ceritanya bermula dengan kelahirannya. Allah
ceritakan begini:
"Apabila isteri Imran berkata, 'Pemeliharaku, aku bernazar kepada Engkau, untuk
kebaikan, apa yang di dalam perutku. Terimalah Engkau yang ini daripadaku;
sesungguhnya Engkaulah Yang Mendengar, Yang Mengetahui.'
"Dan apabila dia melahirkannya, dia berkata, 'Pemeliharaku, aku telah melahirkannya,
seorang anak perempuan.' Allah sangat-sangat tahu apa yang dia lahirkan, dan bukanlah
anak lelaki seperti anak perempuan, 'Dan aku namakan dia Mariam , dan
melindungkannya kepada Engkau dengan keturunannya, daripada syaitan yang
direjam.'" (3:35-36)
Perhatikan kepada doa ibu Mariam sebelum dan selepas melahirkannya. Allah menerima
doa ibu Mariam dengan baik.
Kemudian, Allah ceritakan pula Mariam dijagai oleh Zakaria. Mungkin kerana ibu bapa
Mariam sudah meninggal dunia. Zakaria adalah ahli keluarga Imran. Dia berjaya
menjaganya setelah bertengkar dengan ahli keluraga yang lain kerana masing-masing ingin
menjaga Mariam (3:44).
Lalu Mariam membesar,
"..... dia membesar dengan menarik hati .... Setiap kali Zakaria masuk kepadanya di
mihrabnya (bilik ibadat), dia dapati rezekinya. Dia berkata, 'Wahai Mariam, dari
manakah ini kepada kamu?' Dia (Mariam) berkata, 'Daripada Allah,'" (3:37).
Di bilik itu sentiasa terdapat makanan yang datang dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah
memelihara Mariam dengan baik untuk suatu rancangan-Nya yang besar. Mariam adalah
seorang yang taat kepada Allah.
Suatu hari tatkala Mariam sedang menyendiri muncul seorang malaikat (juga dipanggil
Rasul) yang menyerupai di hadapannya seperti seorang manusia dengan tanpa cacat. Dia
jadi takut seraya berkata,
"Aku berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa (takut kepada
Tuhan)!'
"Dia (malaikat) berkata, 'Aku hanyalah seorang Rasul yang datang daripada Pemelihara
kamu, untuk beri kamu seorang anak lelaki yang suci.'
"Berkata, 'Bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia
pun menyentuhku, dan bukan juga aku perempuan jalang?'
"Dia berkata, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku; dan supaya
Kami buat dia satu ayat (tanda) bagi manusia, dan satu pengasihan daripada Kami; ia
adalah perkara yang sudah ditentukan'" (19:18-21).
Bayangkanlah perasaan seorang perempuan yang mulia yang akan mengandung tanpa
suami! Bagaimanakah dia akan jelaskannya kepada keluarganya dan orang lain?
"Lalu dia membawanya (mengandungnya), dan berundur dengannya ke suatu tempat
yang jauh" (19:22).
Tempat itu, menurut ayat 23:50, adalah "di atas bukit, di mana ada sebuah lubang, dan
sebuah mata air."
"Dan rasa sakit beranak mendatanginya di batang pohon palma. Dia berkata, 'Aduhai,
sekiranya aku sudah mati sebelum ini, dan jadi sesuatu yang dilupakan!'" (19:23).
Mariam kesakitan. Dia keseorangan. Kalaulah dia sudah mati sebelum itu, katanya. Justeru,
bayi yang baru dilahirkannya berkata-kata pula kepadanya.
"Tidak, janganlah kamu bersedih; sesungguhnya Pemelihara kamu adakan di bawah
kamu sebuah anak sungai.
"Goyangkanlah kepada kamu batang palma; ia akan menjatuhkan kepada kamu kurma
yang segar dan masak.
"Maka makan dan minumlah, dan bergembiralah; dan jika kamu melihat seseorang
manusia, katakanlah, 'Aku telah bernazar kepada Yang Pemurah untuk berpuasa, dan
pada hari ini, aku tidak akan berkata-kata kepada seseorang manusia pun.'" (19:24-26)
Anak yang baru dilahirkannya, selain menyuruh makan dan minum, mengajarnya apa
yang harus dilakukan apabila berjumpa orang lain. Dia menyuruh ibunya mendiamkan diri
kerana dialah yang akan menjelaskan keadaan sebenar. Selepas itu Mariam pulang ke
rumah.
"Kemudian dia datangkan kepada kaumnya dengan membawanya; dan mereka berkata,
'Wahai Mariam, sesungguhnya kamu datangkan sesuatu yang aneh!
"Wahai saudara perempuan Harun, bapa kamu bukanlah seorang lelaki yang jahat, dan
bukan juga ibu kamu perempuan jalang,'" (19:27-28)
Sekiranya Mariam menjawab tuduhan itu tentu keadaan jadi amat rumit lagi baginya. Dia
mendiamkan diri seperti yang disuruh oleh puteranya.
"Maka dia menunjuk kepadanya; tetapi mereka berkata, 'Bagaimanakah kami berkata-
kata kepada orang yang masih dalam buaian, seorang anak kecil?'" (19:29)
Lalu sesuatu yang memeranjatkan mereka berlaku, apabila,
"(Isa) Berkata, 'Sesungguhnya aku hamba Allah; Dia beri aku al-Kitab, dan jadikan aku
seorang Nabi.
"Dia buat aku diberkati di mana sahaja aku berada, dan Dia wasiatkan aku supaya
bersolat, dan zakat, selama aku hidup,
"Dan taat kepada ibuku, dan Dia tidak buat aku sombong, sengsara.
"Sejahtera ke atasku, pada hari aku diberanakkan, dan hari aku mati, dan hari aku
dibangkitkan hidup'" (19:27-33).
Apakah reaksi orang ramai apabila melihat Nabi Isa berkata-kata semasa masih bayi lagi?
Namun, selepas berlaku mukjizat itu, masih terdapat orang-orang tidak percaya dan
lakukan umpatan yang besar terhadap Mariam (4:156).
Apa yang berlaku pada Mariam adalah suatu contoh ujian dan pengorbanan bagi orang
yang percaya kepada Allah. Khususnya bagi kaum wanita.
Mariam adalah salah seorang daripada dua orang perempuan beriman yang berdarjat tinggi
di sisi Allah. Demikianlah itulah kata Allah berbunyi,
"Allah buat satu persamaan bagi orang-orang yang percaya - isteri Firaun, apabila dia
berkata, 'Wahai Pemeliharaku, binalah untukku di sisi-Mu sebuah rumah di Taman, dan
selamatkanlah aku daripada Firaun dan amalannya, dan Engkau selamatkanlah aku
daripada kaum yang zalim.'
"Dan Mariam, anak perempuan Imran, yang menjaga kemaluannya, maka Kami hembus
ke dalamnya daripada Roh Kami, dan dia mengesahkan Kata-Kata Pemeliharanya dan
Kitab-Kitab-Nya, dan jadi antara orang-orang yang patuh" (66:11-12).
Akan tetapi, Allah berfirman lagi mengenai Mariam. Kata-Nya Mariam adalah di atas semua
perempuan di semua alam.
"Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Mariam, Allah pilih kamu, dan bersihkan
kamu, dan Dia pilih kamu di atas semua perempuan di semua alam'" (3:42).
0 Komentar untuk "KISAH NABI ISA A.S"

Popular Posts

Back To Top