w a n n u r s y a r i f a h

KISAH DAJJAL



SEJARAH AD-DAJJAL
Ada riwayat Muslim yang diterima dari Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya telah
mendengar muazzin Rasulullah s.a.w memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan
solat bersama Rasulullah s.a.w. Selesai solat, Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar.
Nampak semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata: “Jangan ada yang bergerak.
Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya.” Kemudian berkata: “Tahukah kamu mengapa
aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?” Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya
yang lebih tahu.”
Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Demi Allah aku me-nyuruh kamu berkumpul di sini bukan
ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada
kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai
aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal. Kisah
yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu
sebelumnya.
Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin
kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera
yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di
atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang
terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan
binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya.
Mereka bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?” Binatang itu menjawab:
“Saya adalah Al-Jassasah.” Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?” Binatang itu hanya
menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki
macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke
tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.
Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka
tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan
dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya:
“Siapakah anda?” Orang seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar cerita
tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?”
Mereka menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal,
tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami
berada di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati
ini.
“Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami
tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya
apa maksudnya dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini
untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”
Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan
dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya.” Makhluk yang sangat besar itu belum
menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan: “Ceritakan kamu kepadaku
keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,” nama tempat di negeri Syam. Mereka menjawab:
“Keadaan apanya yang tuan maksudkan?” Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah
pokok kurma itu berbuah?” Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah,
orang besar tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah.”
Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah.” Mereka
menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?” Lelaki itu menjawab: “Maksudku
airnya apakah masih ada.” Mereka menjawab: “Airnya tidak susut.” Lelaki itu berkata: “Air
sungai itu disangsikan akan kering.”
Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi
Al-Amin itu, apa yang dia buat?” Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke
Madinah.” Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka
menjawab: “Ya, dia diperangi oleh orang-orang Arab.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau
begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa Rasulullah s.a.w
telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.
Orang besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka beruntung jika taat
kepadanya.” Kata orang besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku
adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah
dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah
dan Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh
para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya.”
Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah s.a.w menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil
berkata: “Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara
sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?” Mereka menjawab: “Ya,
sudah ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih
meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan
kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat
dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak,
bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah s.a.w sambil menunjuk ke
arah timur.
Rasulullah s.a.w telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada
yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfihan.
KHUTBAH RASULULLAH PERIHAL DAJJAL
Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan
kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah
bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat
selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada
mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu
adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu.
Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah
sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap
orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.
“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi
manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di
sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-
nabi sebelumku kepada umatnya.
“Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi
sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang
benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan
Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata
Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau
buta huruf.
“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya
syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang
disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan
hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk
sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.
“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku sanggup
menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau
mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun
datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan
suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia,
sesungguhnya dialah Tuhanmu.”
“Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua.
Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap
hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi
hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia
bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan
engkau adalah musuh Allah.”
Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi
darjatnya di syurga.”
Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya
menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan
tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi
manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak me-
ngakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan
ternakan mereka tidak menjadi.
“Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung
itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka
dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.
“Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah
dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh
Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian
ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang
seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak
tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang
yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.
Dalam hadis yang lain, “di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu
di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka
disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak
turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya
beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu
Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya
menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-
tanaman mereka subur.”
Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Menjelang turunnya Dajjal ada
tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur
tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.”
Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Bumi yang paling baik
adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak
sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah
bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan)
bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita
adalah yang paling banyak lari ketika itu.
Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang
besi membersihkan karat-karat besi.”
Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: “Pernah satu
hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya
menangis beliau bertanya: “Mengapa menangis?” Saya menjawab: “Ya Rasulullah, engkau
telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya.”
Rasulullah s.a.w berkata: “Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka
aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka
Tuhan kamu tidak buta dan cacat.”
Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Dajjal muncul pada waktu
orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada
empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa
bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya
seperti hari biasa.”
Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh
kami solat lima waktu juga?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ukurlah berapa jarak solat yang
lima waktu itu.”
Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: “Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari
ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?” Katanya sambil
ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.
Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia:
“Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?” Mereka semua menjawab: “Ya,
kami ingin.” Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu
cepat berjalan.
Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan keluarlah Dajjal kepada umatku
dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak
pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah
SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan kemudian
membunuh Dajjal itu.”
Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia menjadi
kafir, yakni beriman kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya
tinggal 12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita.
Wallahu A’lam.

Tag : DAJJAL
0 Komentar untuk "KISAH DAJJAL"

Popular Posts

Back To Top