w a n n u r s y a r i f a h

KEMULIAAN HARI ARAFAH



PADANG Arafah dinamakan demikian kerana menurut sebahagian ulama, Nabi
Adam AS dipertemukan kembali ('arafa ) dengan Siti Hawa setelah kedua-duanya
diturunkan dari Syurga. Sebahagian pendapat menyatakan perpisahan mereka
selama lebih kurang 200 tahun. Mereka berdua bertemu kembali di Padang
Arafah.
Lokasi Arafah terletak di sebelah tenggara Masjidil Haram sejauh 22 kilometer
(km) dan ia dianggap sebagai kawasan Tanah Haram.
Jemaah haji hendaklah wukuf (berada) di Arafah pada 9 Zulhijjah, kerana jika
tidak maka hajinya tidak sah. Kerana ia adalah rukun haji.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Haji adalah (wukuf) di Arafah." Ketika
berada di Arafah pada 9 Zulhijjah hendaknya jemaah memperbanyak doa,
berzikir, membaca al-Quran, talbiah dan lain-lainnya.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sebaik-baik doa adalah doa pada hari
Arafah."
Ibadah wukuf di Arafah adalah "kemuncak" ibadah haji. Semasa wukuf di Arafah
jemaah bermuhasabah diri menilai kekurangan, kelemahan, menyedari dosa
yang seterusnya memohon keampunan Allah SWT. Ini saat seseorang hamba
kembali kepada Penciptanya untuk mendapat keampunan dan keredaan-Nya. Jika
Allah menerima taubat mereka dan perjalanan hidup seterusnya mereka tidak
lagi melakukan dosa, maka bayangan syurga akan dapat digapai.
Ada riwayat menyatakan, kehadiran para malaikat dan Allah SWT turun ke langit
serendahnya menyaksikan para jemaah yang wukuf di Padang Arafah. Allah
berfirman dalam hadis Qudsi kepada para malaikat-Nya bermaksud: "Lihatlah
kepada orang-orang yang menziarahi rumah-Ku, sesungguhnya mereka telah
mengunjungi-Ku, hingga kusut masai keadaannya dan penuh debu." (riwayat al-
Hakim bersumber daripada Abu Hurairah).
Sungguh mereka berlaku ikhlas dalam melaksanakan ibadah haji, kerana itu
mereka berhak mendapat limpahan kurniaan dan selayaknya Aku memberi
mereka sebaik-baik pahala atas jerih payah serta sambutan atas panggilan-Ku.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud bahawa mengerjakan haji adalah satu jihad,
jihad ertinya perjuangan. Perjuangan yang hebat dan besar adalah perjuangan
melawan hawa nafsu. Di dalam ibadah haji, menentang hawa nafsu menjadi ujian
terbesar jika hendak mencapai ibadah haji mabrur. Sesungguhnya hawa nafsu
sekiranya tidak dikawal ia akan mendorong manusia ke lembah kejahatan dan
kemungkaran.
Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa mengerjakan haji itu adalah
yang bermaksud : "Kusut masai dan penuh debu." Digambarkan keadaan yang
sedemikian kerana orang yang mengerjakan haji berlumba-lumba bersaing untuk
mendapatkan keampunan Allah dan rahmat-Nya, ganjaran besar (syurga) yang
penuh dengan kenikmatan dan kesenangan yang tidak terlintas di hati dan
tergambar dalam pemikiran manusia.
Di Padang Arafah, di mana satu-satunya lokasi yang paling mustajab doa kita.
Kerana di situ Allah SWT turun ke langit serendahnya untuk bertemu dan
menyaksikan hamba-hamba-Nya yang ingin berjumpa dengan-Nya, mendengar
segala doa dan permohonan hamba-Nya dan memakbulkan segala doa-doa
mereka. Bahkan Allah memuji kepada hamba-Nya yang datang berwukuf di
Arafah untuk menggapai rahmat dan keampunan-Nya.
Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
"Sesungguhnya Allah SWT memuji mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada
penghuni langit dan berkata kepada mereka: "Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku
yang datang kepada-Ku." (riwayat Imam Ahmad).

0 Komentar untuk "KEMULIAAN HARI ARAFAH"

Popular Posts

Back To Top